Rabu, 28 September 2011

NOSTALGIA - ACHIK SPIN TERKENA BUATAN ORANG?


Kisah romantika hidup Allahyarham Achik Spin yang disiarkan di myartis sekitar tahun 2004. Mungkin ada sesuatu yang dapat kita kutip melalui kisah ini sebagai panduan hidup dimasa depan.




GEMPAR...vokalis kumpulan Spin, Achik atau nama sebenarnya Abdillah Murad, terlantar sakit terkena buatan orang.

Paling mengejutkan, kakak sulungnya juga turut ditimpa pelbagai kejadian pelik hingga memaksa keluarganya mendapatkan khidmat bomoh bagi memulihkan mereka.

"Sebenarnya, kejadian itu berlaku beberapa tahun lepas. Mula-mula sekali kakak saya yang terkena kerana ada orang (rakan baiknya) yang dengki dan tujukan sesuatu untuk mengenakan kakak saya.

"Ketika itu, kakak saya jadi seperti orang hilang ingatan. Badannya tiba-tiba kurus dan muka pula pucat. Dia tidak boleh bercakap hampir seminggu lamanya. Sehinggalah ayah membawa jumpa dengan seorang bomoh.


"Setelah kakak saya pulih sepenuhnya, saya pula kena serang sewaktu sedang menghadiri majlis hari jadi seorang kawan. Adik-adik yang lain nasib baiklah tidak mengalami serangan seperti yang saya alami itu.

"Sampai saja di rumah, saya terus muntah tidak henti-henti hingga badan menjadi lemah longlai.

"Bila segala makanan dalam perut dah keluar, barulah saya berhenti muntah. Lepas tu... keluar muntah air pula. Keadaan begitu berterusan hampir satu jam. Disebabkan sudah tidak bermaya, saya terus tidak sedarkan diri.

"Sejurus kemudian, saya terjaga apabila ayah menyiram air di bahagian muka dan anggota badan saya. Ketika terjaga itu, tiba-tiba saja saya jadi bisu. Untuk berkomunikasi dengan ayah, saya terpaksa gunakan isyarat tangan.

"Seluruh keluarga saya, hairan dengan kejadian yang tidak semena-mena itu. Ia berterusan hingga mengambil masa hampir sebulan lamanya. Nasib baiklah masa tu saya belum jadi artis lagi, kalau tidak tentunya saya dituduh sengaja ponteng sekolah.

"Disebabkan perubatan moden tidak menampakkan tanda-tanda untuk sembuh, jadi ayah telah mengesyaki sesuatu. Lantaran itulah ayah telah membawa saya berjumpa dengan seorang bomoh yang pernah mengubati kakak saya dulu.

"Bila dirawat dan beransur pulih, kami sekeluarga diberitahu oleh bomoh itu bahawa ada orang cuba menganiayai keluarga kami.

"Memang awalnya sukar untuk kami menerima kenyataan tersebut kerana selama ini kami tidak mempunyai musuh. Namun, setelah diterangkan apakah motif orang tersebut, barulah kami tahu bahawa memang orang yang melakukannya itu mempunyai hubungan rapat dengan kami.

"Dia didakwa melakukannya disebabkan rasa cemburu kerana sering kalah dalam setiap pertandingan nyanyian yang dimenangi oleh saya dan kakak. Ekoran itulah, dia cukup berdendam dan mahu menganiaya kami berdua hingga tergamak melakukan perbuatan terkutuk itu.

"Apa pun yang dilakukannya, Tuhan lebih berkuasa dari segala-galanya. Disebabkan tidak mahu mencetuskan persengketaan, kami mengambil langkah berdiam diri sahaja.

"Setelah benar-benar sembuh, kami sekeluarga terus berpindah. Alhamdulillah... selepas pindah dari Senawang ke Labu, Negeri Sembilan itu, kami tidak lagi diserang kejadian-kejadian yang tidak diingini lagi."