Selasa, 25 Oktober 2011

EZAD 'EXIST' DIFITNAH GANGGU ANAK DARA!!


Romantika hidup Ezad (bekas penyanyi kumpulan Exist). Kisah ini pernah disiarkan pada tahun 2004 di myartis.




SEMEMANGNYA, manusia cukup ramai yang dengki dan tidak senang melihat kebahagiaan orang lain. Selagi ada sifat cemburu di hati, selagi itulah manusia akan terus menabur fitnah melihat kehancuran orang lain.

Demikianlah kata-kata yang terhambur dari mulut Ezad atau nama sebenarnya Mohd. Rohaizat Mohd. Lazim. Katanya dia tidak menduga akan turut menjadi mangsa prasangka buruk yang hanya membawa kerugian.

"Saya sendiri jadi bingung dan tertekan. Malah rasa tak sedap hati nak balik kampung. Banyak sangat tohmahan dan fitnah yang di lemparkan ke atas diri saya mahupun keluarga di sana.

"Hairan betul saya, macam mana boleh timbul cerita yang bukan-bukan. Malah mereka tuduh saya jahat, kaki perempuan dan lebih daripada itu saya dituduh pengacau anak-anak dara kampung.

"Yang peliknya, masa bilalah saya balik dan kacau anak-anak dara di sana. Sedangkan masa saya banyak yang dihabiskan di Kuala Lumpur.

"Hai...tak tahulah macam mana tergamaknya mereka ini boleh buat tuduhan yang sama sekali tidak pernah saya lakukan. Bukan itu saja malah ada yang menyebar khabar angin kononnya ibu bapa saya bermasalah dan bercerai. Sedangkan hakikatnya mereka hidup aman bahagia.

"Bengang betul bila dengar cerita karut-marut ni. Kalau ada masalah di kampung, janganlah pula nama saya dikaitkan.

"Kerana permasalahan peribadi, tak pasal-pasal saya pula yang menjadi mangsa. Dahlah tu..saya juga dituduh sombong, tak sedar diri bila bergelar penyanyi.


"Sedangkan mereka tahu, saya bukanlah jenis macam tu. Nak kata saya teruk sangat, rasanya tidak. Cuma, masa saya banyak di habiskan di KL. Jadi, jarang balik ke kampung jumpa saudara mara.

"Kalau masalah ini berterusan, rasanya seperti malas nak balik kampung. Tetapi disebabkan ibu bapa, saya terpaksa tebalkan muka.

"Sedangkan hakikatnya, saya tidak pernah mencari pasal dengan sesiapa. Kenapalah mereka dengki sangat dengan hidup saya hingga mengeruhkan hubungan yang sedia ada?

"Memang selama ini saya hanya berdiam diri dan bersabar. Tetapi tahap kesabaran saya ada batasannya. Bukan nak melawan saudara, tetapi sekadar nak menegakkan kebenaran.

"Niat saya ikhlas, bukannya nak mengeruhkan keadaan tetapi minta mereka yang menyebar fitnah tu bertaubat. Buat apalah nak berselisih faham sedangkan kita bersaudara.

"Bukan saya nak buka pekong di dada atau nak tunjuk besar kepala, tetapi harap mereka faham dan segera berdamai. Kalau ada yang tak puas hati, elok diselesaikan dengan baik bukannya membabitkan orang lain yang tidak bersalah.

"Akibat perbalahan antara mereka, tak semena-mena saya pula yang jadi mangsa. Mungkin agaknya mereka cuba 'baling batu sembunyi tangan' atau 'pukul anak sindir menantu'.

"Harapan saya, janganlah libatkan saya lagi dalam hal ini. Saya tidak mahu nama saya diburuk-burukkan kerana perbalahan peribadi antara orang lain.

"Saya pohon maaf kalau luahan hati saya ini menyentuhkan hati sesiapa saja. Tetapi, nawaitu saya ikhlas untuk pulihkan keadaan. Sesungguhnya, jangan jadikan saya sebagai mangsa," ujar Ezad dengan nada sedih.